About

Isnin, 2 April 2012

Contoh Kaedah

KAEDAH SUKU KATA


1. Suku kata ialah bahagian perkataan berasaskan kehadiran vokal.
2. Suku kata ditandai oleh suatu vokal dan wujud sebagai satu vokal atau bersama-sama dengan konsonan.
3. Dalam Bahasa Melayu, terdapat sebelas pola suku kata. Suku kata yang berakhir dengan huruf vokal dipanggil Suku Kata Terbuka.
4. Suku kata yang lain adalah Suku Kata Tertutup kerana diakhiri dengan huruf konsonan. Beberapa jenis suku kata :
(a) Kata tunggal satu suku kata. Contoh : K + V + K
(b) Kata tunggal dua suku kata. Contoh : V + KV (ibu, ela), V + VK (air, aib), V + KVK (adat, emas), VK + KV (anda, unda), VK + KVK (untuk, entah), KV + KVK (bukan, dekat).
(c) Kata tunggal tiga suku kata. Contoh : KV + V + KV (biasa, cuaca), KV + V + KV (kaedah).
(d) Kata tunggal empat suku kata. Contoh : KV + KV + KV + KV (panorama)

KAEDAH PANDANG SEBUT

1. Kad gambar, kad huruf, kad suku kata dan kad perkataan boleh digunakan di peringkat awal pengajaran untuk memperkembangkan kemahiran membaca.
2. Murid sendiri akan memegang kad-kad tersebut dan menyusunnya supaya menjadi perkataan yang bermakna.
3. Sentuhan secara fizikal mendorong murid mengingati pelajaran dengan mudah dan berkesan.
4. Kaedah ini memnetingkan dua perkara iaitu:
(a) Membunyikan perkataan rangkai kata berdasarkan pengalaman melalui gambar; dan
(b) Membunyikan ayat melalui gambar yang ada cerita.
5. Manakala kad perkataan pula boleh digunakan bagi melatih murid untuk menyebut perkataan yang dipaparkan oleh guru (secara flashcard) secara cepat dan pantas tanpa perlu mengeja terlebih dahulu. Ini bagi mempertingkatkan keupayaan murid untuk membaca.
KAEDAH FONIK
1. Menurut Azman Wan Chik, kaedah fonik adalah untuk mengajar murid melihat hubungan antara simbol (huruf) dengan bunyi supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka jumpa.
2. Bunyi-bunyi huruf diajar. Ertinya lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Contoh : “a” dibunyikan ‘aaaa…..’, “u” dibunyikan ‘uuuu…….’.
3. Setelah tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’ dan sebagainya.
4. Seterusnya, digabungkan suku kata ini menjadi perkataan seperti ‘baba’, ‘batu’, ‘ibu’ dan sebagainya.

KAEDAH GABUNGAN BUNYI KATA
1. Kaedah ini menggabungkan kemahiran membunyi beberapa huruf, suku kata dan membaca perkataan, rangkai kata, ayat (yang bermakna) dalam satu atau dua pelajaran.
2. Gabungan ini dibuat secara sistematik.
3. Tiap-tiap pelajaran berikutnya, beransur-ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.
4. Pada akhir tiga atau empat pelajaran saja, murid-murid sudah boleh membaca beberapa perkataan dan rangkai kata yang mudah. Contohnya murid boleh membaca sendiri buku-buku cerita.

Cara Menulis

Gambar di bawah merupakan tulisan daripada salah seorang murid yang kita dapat lihat cara atau pun teknik menulisnya kurang betul. Sebagai guru, dapatkah anda kesan apakah kesalahan dilakukan murid semasa menulis ini?
Gambar ini diambil dari sudut murid melihat dan dalam masa yang sama juga menulis. Kesilapan yang ketara apabila kita dapat lihat tulisan murid tidak betul, condong, terlalu jarak dan tidak boleh dibaca.

Faktor ini disebabkan cara menulis murid yang dilihat :
  1. Tangan yang menulis itu menutup penglihatan menyebabkan murid tidak nampak huruf apakah yang hendak ditulis.
  2. Apabila penglihatan semasa menulis terhad, murid akan tundukkan kepala dan menulis pada jarak meja dan kepala terlalu rapat. Keadaan ini menyebabkan murid mengeluh keana sakit leher.
  3. Cara murid memegang pensel yang terlalu tegak juga menyebabkan jarak penglihatan murid menjadi terhad
Murid sudah terbiasa dengan cara menulis yang seperti ini. Jika tidak diperbetul, maka sampai bila-bila murid akan terbiasa dengan cara dan kaedah menulis yang tidak betul ini.
Sebagai guru, gunakan pengalaman anda menulis untuk memperbetul cara memegang pensel, cara duduk semasa menulis dan jarak penglihatan pada postur menulis yang betul.
Bagi murid yang baru belajar menulis, jangan terlalu mendesak murid atau mengaharapkan mereka boleh terus menulis dengan cantik dan kemas. Ia akan mengambil masa untuk murid belajar biasakan diri dengan kaedah dan teknik menulis yang betul

Mengajar Murid Cara Menulis

Hari ini, saya sentuh lagi topik berkaitan kemahiran menulis yang sering kali menjadi dilema para pendidik termasuklah ibu bapa. Mari kita perhatikan gambar di bawah. Apakah yang dapat anda nyatakan daripada cara murid menulis berdasarkan gambar tersebut?
Ini adalah sebahagian murid yang tidak tahu menulis secara mendatar semasa menulis di meja masing-masing. Alasan diberi adalah tulisan tidak sama dengan guru kerana tulisan guru menegak di papan putih, di meja mereka pula secara mendatar.
Perkara ini adalah perkara biasa dan guru perlu sentiasa membiasakan murid menulis di meja masing-masing berbanding menulis seperti cara di atas kerana ia akan memungkinkan kesilapan menulis yang lebih banyak selain melengah-lengahkan masa untuk menyiapkan kerja yang diberi.

Mengajar Kemahiran Membaca KV+KV+KV

TIPS MENGAJAR ;
  • Edarkan kad rangkai kata kepada setiap murid. Uji pengetahuan murid dengan meminta murid menyebut atau membaca rangkai kata.
  • Minta murid jelaskan isi kandungan rangkai kata.
  • Tanya sama ada murid faham apa yang dibaca.
  • Jika ada murid yang masih mengeja, bimbing segera atau asingkan dalam kumpulan lain.
  • Edarkan pula teks bacaan KV+KV+VK.
  • Beri murid  masa untuk membaca teks bacaan secara mentalis
  • Rangsang murid untuk membaca secara mekanis seorang demi seorang.
  • Betulkan segera kesalahan yang dibaca. Minta murid supaya membaca dengan berhati-hari. Jangan terburu-buru membaca.
  • Beri murid 15 minit untuk ulang baca bahan bacaan yang diedar.
  • Uji semula penguasaan kemahiran murid. Betulkan segera kesalahan jika masih ada.
  • Edarkan permainan DAM ULAR. Semasa bermain, minta murid baca soalan yang terdapat dalam permainan.
  • Dengan menggunakan lembaran kerja 1 dan 2, rekod penguasaan kemahiran murid dengan menguji mereka secara individu.
Dalam kemahiran ini, murid dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk kuasai kemahiran dengan cepat kerana murid sudah ada pengetahuan asas kemahiran KV+KV dan KVK+KV.
Walau bagaimana pun, guru perlu sentiasa memantau perkembangan semasa murid. Murid yang belajar di kelas Pemulihan mudah lupa. Jadi, mereka perlu dingatkan selalu.
Semoga berjaya!